Tuesday, February 14, 2012

afternoon highlight (08/02/12/022/497) DDEC bantu PKS tingkat kualiti

DDEC bantu PKS tingkat kualiti

Pusat penyelidikan sedia kemudahan pembungkusan, cipta jenama produk

SYARIKAT perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mewakili 98 peratus komuniti perniagaan di negara ini, boleh menambah nilai produk mereka dengan bantuan daripada Design Development Centre (DDEC).

Ketua Eksekutif DDEC, Datuk Abd Rahim Hassan berkata, pusat itu menyediakan bantuan kepada peniaga untuk mencipta lambang jenama produk dan rekaan pembungkusannya bagi menjadikan produk mereka lebih berdaya saing dan menarik.

“Ramai peniaga yang tidak menitik-beratkan soal pembungkusan produk dan ia amat merugikan kerana jika produk dipersembahkan dengan baik, ia mampu meningkatkan permintaan.

“Malah dengan persembahan yang baik, lebih banyak produk tempatan dapat pergi ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang kewujudan DDEC, sudah banyak produk yang menerima sentuhannya termasuk beberapa jenama terkenal seperti Simply Siti, Forest Secret, Chaky Black, Jonker Walk Kopitiam, Restoran Tu dia Pak Tam, dan Harrods Malaysia.

“Selain itu, Kit Pemasaran Diomoney Malaysia, penjenamaan Dunkin Donuts, Fresha Tea, penjenamaan identiti Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), identiti korporat Glocal Link dan Koperasi Bumira juga menerima sentuhan kami.

“Maklum balas yang kami terima amat baik sehinggakan syarikat seperti Harrods Malaysia kembali untuk mendapatkan perkhidmatan selanjutnya kerana kualiti hasil sentuhan kami dalam penjenamaan dan pembungkusan produk mereka tanpa membabitkan kos yang tinggi,” katanya.

Abd Rahim berkata, kos perkhidmatan yang dikenakan adalah serendah RM500 bergantung kepada jenis perkhidmatan penjenamaan dan rekaan pembungkusan yang diperlukan.

“Harga yang kami tawarkan amat rendah berbanding menggunakan perkhidmatan jururunding jenama persendirian yang jauh lebih tinggi.

“Kami juga mempunyai hubungan rapat dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (myIPO) dan bersedia membantu proses pendaftaran paten produk syarikat yang mendapatkan perkhidmatan kami,” katanya.

Source : Berita Harian
Date : 7 February 2012
afternoon highlight (08/02/12/022/497)

No comments: