Wednesday, February 22, 2012

afternoon highlight (16/02/12/029/503) Peluang Malaysia terokai pasaran Jerman

Peluang Malaysia terokai pasaran Jerman

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Pembukaan lapangan terbang baharu Brandenburg di bandar raya Berlin pada 3 Jun ini dijangka mampu menarik lebih ramai pelabur asing ke Jerman termasuk dari Malaysia.

Sempena pembukaan lapangan terbang berkenaan, Lembaga Pembangunan Ekonomi Brandenburg (ZAB) telah mengadakan promosi zon perindustrian baharu seluas 500 hektar kepada pelabur Malaysia yang berpotensi.

Pengarah Urusan ZAB, Rolf Strittmatter berkata, ketika ini, pelaburan syarikat Malaysia di Jerman sangat kecil dan kurang popular berbanding negara Eropah lain.

"ZAB melihat Malaysia mempunyai banyak syarikat yang berpotensi dikembangkan ke sini. Pelbagai insentif ditawarkan antaranya subsidi perniagaan, cukai rendah, geran pembiayaan dan bantuan perniagaan.

"Antara sektor yang dilihat berpotensi diceburi adalah media, bioteknologi, elektrik dan elektronik, pengurusan sisa pepejal, plastik dan tenaga boleh diperbaharui," katanya pada sidang akhbar sempena majlis mempromosikan lapangan terbang Brandenburg di sini hari ini.

Strittmatter berkata, pembukaan lapangan terbang baharu berkenaan dijangka meningkatkan pertumbuhan zon ekonomi Brandenburg sehingga 30 peratus dalam tempoh dua tahun dengan jangkaan satu hingga dua peratus adalah sumbangan pelaburan dari Malaysia.

"Kami mempunyai 40 zon ekonomi di sekitar lapangan terbang Brandenburg. Lokasi yang strategik iaitu terletak di tengah-tengah bandar raya Berlin antara faktor zon tersebut mendapat sambutan hangat," jelasnya.

Mengulas tentang prestasi perdagangan Malaysia dengan Jerman, beliau berkata, tahun lalu sebanyak 12 bilion euro (RM48 bilion) nilai perdagangan telah direkodkan antara kedua-dua negara.

"Eksport ke Jerman adalah sebanyak 5.5 bilion euro (RM22 bilion) manakala import ke Malaysia adalah 6.5 bilion euro (RM26 bilion)," ujarnya.

Beliau berkata, selain berusaha menarik pelaburan ke Jerman, pihaknya turut mempromosikan peluang pelaburan di Malaysia di kalangan syarikat tempatan.

"Pada Jun ini sebuah syarikat berasaskan kimia akan membuat pelaburan bernilai 50 juta euro (RM200 juta) di Selangor diikuti syarikat plastik juga dengan nilai pelaburan yang sama.

"Selain pelaburan besar, banyak syarikat kecil yang menawarkan perkhidmatan seperti kejuruteraan, rundingan dan kepakaran telah membuka pejabat di Malaysia dengan purata pekerja seramai 10 orang," katanya lagi.

Source : Utusan Malaysia
Date : 16 January 2012
afternoon highlight (16/02/12/029/503)

No comments: