Wednesday, February 29, 2012

afternoon highlight (29/02/12/037/512) AIM rancang wujud koperasi di setiap cawangan

AIM rancang wujud koperasi di setiap cawangan

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan mewujudkan koperasi di setiap 113 cawangannya di seluruh negara mulai tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Amihamzah Ahmad berkata, sebagai permulaan, sebanyak 70 cawangan, termasuk di Sabah dan Sarawak, telah dipilih di mana AIM memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi tujuan itu.

''Setiap penubuhan koperasi itu, kita akan memberi geran percuma sebanyak RM50,000 dan akan ditambah RM10,000 lagi oleh Jabatan Koperasi.

''Kita jangkakan, koperasi itu akan dilaksanakan dalam tempoh dua bulan lagi dan ia akan diteruskan sehingga setiap cawangan akan memiliki sebuah koperasi," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis ramah mesra AIM bersama media di Menara Amanah Ikhtiar, Bandar Sri Damansara, dekat sini hari ini.

Amihamzah menjelaskan, rancangan penubuhan koperasi itu telah dirujuk kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), termasuk Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, dengan pelaksanaan koperasi itu, setiap ahli koperasi mampu menjana pendapatan selain memperoleh hasil dari perniagaan kira-kira 300,000 keluarga atau Sahabat AIM yang menyertainya.

''Saya yakin 70 koperasi yang akan diwujudkan itu akan berjaya berdasarkan kemampuan sahabat dan kakitangan AIM beroperasi untuk tempoh 15 tahun.

''Malah kita sedia untuk menambah peruntukan supaya setiap cawangan AIM akan mempunyai koperasi," katanya.

Sementara itu, Amihamzah ketika ditanya mengenai rancangan agensi itu tahun ini berkata, AIM menyediakan bajet sebanyak RM2.1 bilion untuk disalurkan kepada peminjam agensi berkenaan, peningkatan sebanyak 30 peratus daripada yang dikeluarkan pada tahun lalu.

Tambah beliau, AIM juga akan berjaya memenuhi permintaan kerajaan untuk melahirkan 4,000 usahawan wanita yang berpendapatan sebanyak RM3,500 menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menjelang hujung tahun ini.

Source : Utusan Malaysia
Date : 29 February 2012

No comments: