Wednesday, March 27, 2013

Today's Pick (20/03/13/44/969) FGV perluas kilang gula di Perai


FGV perluas kilang gula di Perai

Syarikat akan bincang pembangunan tanah dimiliki KTMB

FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) bercadang memperluaskan lagi kilang gula milik anak syarikatnya, MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM Holdings) di Perai bagi meningkatkan pengeluaran gula dalam negara.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Samad, berkata langkah itu akan membolehkan MSM Holdings menambah pengeluaran gula kepada 4,000 tan sehari berbanding 3,000 tan sehari kini.

"Jika cadangan pembesaran kilang menjadi kenyataan dan bekalan untuk keperluan rakyat di negara ini mencukupi, maka lebihan yang ada boleh dieksport ke luar negara termasuk ke beberapa negara baru,” Tan Sri Mohd Isa Samad, Pengerusi FGV

Beliau berkata, untuk tujuan itu pihaknya perlu berbincang terlebih dulu dengan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bagi membolehkan tanah yang berhampiran kilang yang dimiliki KTMB dibangunkan.

Mohd Isa bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah pelaburan dan keluasan tanah yang terbabit untuk tujuan itu.

“Jika persetujuan dapat dicapai, kami akan membesarkan kilang di sini. Ia masih pada peringkat awal, jika perbincangan mengenai tanah terbabit selesai dan mencapai kata sepakat maka pengeluaran gula dapat dipertingkatkan tetapi jika sebaliknya, kaedah lain akan difikirkan,” katanya selepas majlis pecah tanah surau MSM dan penyerahan wang tabung zakat FGV di Perai, Pulau Pinang, semalam.

Hadir sama, Presiden Kumpulan dan Ketua Eksekutif FELDA, Datuk Sabri Ahmad. Pada majlis itu, projek pembinaan surau yang menelan belanja sebanyak RM650,000 di atas tanah seluas 0.01 hektar yang memakan masa dua bulan mampu memberi kemudahan kepada 150 orang dalam satu masa.

Selain itu, sebanyak RM282,950 wang zakat disalurkan kepada 40 penerima yang terdiri dari kategori individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persekolahan, modal, bantuan kesihatan dan sara hidup.

Mengenai manfaat dari pembesaran operasi kilang gula itu, Mohd Isa berkata, pihaknya kini mengeksport gula ke lebih 15 negara yang mana berjumlah 159,000 tan setahun.

“Daripada jumlah eksport itu, sebanyak 15 peratus adalah dikeluarkan oleh kilang gula milik MSM Holdings, iaitu sebanyak 950,000 tan.

“Jika cadangan pembesaran kilang menjadi kenyataan dan bekalan untuk keperluan rakyat di negara ini mencukupi, maka lebihan yang ada boleh dieksport ke luar negara termasuk ke beberapa negara baru,” katanya.

Baru-baru ini, MSM Holdings dilaporkan bercadang untuk meningkatkan aktiviti pengeluarannya dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pengeluar gula terbesar negara serta menjadi antara pengeluar utama di peringkat global.

Presiden dan Ketua Eksekutif MSM Holdings, Chua Say Sin, berkata syarikat memperuntukkan sehingga RM100 juta daripada modal yang diraih daripada pelaksanaan tawaran awam permulaannya (IPO) pada 2011 bagi tujuan pengambilalihan strategik dan RM220 juta lagi bagi aktiviti pengembangan operasi di peringkat dalam.

Bagi tahun ini, beliau berkata, pihaknya memperuntukkan RM85 juga untuk aktiviti peningkatan pengeluaran dan pembesaran gudang.

Source : Berita Harian
Date : 19 March 2013

Today's Pick (20/03/13/44/969)

No comments: