Wednesday, March 27, 2013

Afternoon Highlight (19/03//13/44/742) MARA sasar kutip hutang RM600j


MARA sasar kutip hutang RM600j

Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasar meraih kutipan pembayaran balik pinjaman antara RM550 juta hingga RM600 juta khususnya daripada usahawan dan peniaga kecil tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata sasaran itu ditetapkan berdasarkan kemampuan usahawan dan peniaga kecil yang mendapat kemudahan pinjaman perniagaan termasuk untuk memula serta memperluaskan perniagaan.
 
“Tahun lalu, kita hanya mensasarkan kutipan hutang daripada peminjam terutama usahawan dan peniaga kecil sebanyak RM500 juta, tetapi kita berjaya membuat pungutan berjumlah RM692 juta.

“Peningkatan pungutan melebihi 40 peratus itu membuktikan kedudukan ekonomi negara semakin kukuh, tidak seperti didakwa pemimpin pembangkang bahawa ekonomi negara semakin tidak stabil berikutan pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan,” katanya selepas merasmikan Seminar Transformasi Imej Usahawan Penyewa, di Kuala Terengganu, semalam. Hadir sama Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.

Idris yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, berikutan kejayaan itu, MARA melalui Bahagian Pembangunan Infrastruktur Perniagaan (BPI) akan memberi tumpuan kepada dua aspek iaitu pembangunan fizikal premis dan pembangunan penyewa.

Beliau berkata, Unit Perancang Ekonomi (EPU) memperuntukkan sebanyak RM167.9 juta bagi melaksanakan kerja pembangunan semula dan menaik taraf bangunan MARA berusia lebih 30 tahun.

“Setakat ini, MARA mempunyai 484 bangunan membabitkan 7,388 ruang niaga di seluruh negara dan premis itu disediakan dengan pelbagai kemudahan serta konsep termasuk arked, bazar, taman halal, taman keusahawanan dan hampir 50 peratus atau 3,694 premis berusia lebih 30 tahun.

“Saya berpendapat penyelenggaraan dan pembaikan semua premis milik MARA terutama yang berusia lebih 30 tahun perlu dinaik taraf dari semasa ke semasa seiring dengan aspirasi MARA sebagai sebuah organisasi bertaraf dunia berteraskan keusahawanan,” katanya.

Mengulas kerja penyelenggaraan premis MARA di negeri ini, Idris yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jertih, berkata sebanyak RM632,800 peruntukan diluluskan untuk meningkatkan kualiti dan fizikal semua premis di negeri ini.

Katanya, MARA juga meluluskan peruntukan sebanyak RM260,000 untuk melaksanakan projek penjenamaan semula kawasan industri MARA di Bukit Kor, Marang.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, kajian dilakukan mendapati anggaran pendapatan kasar tahunan penyewa MARA ialah sebanyak RM2.587 bilion, terutama membabitkan pendapatan diperoleh ahli perniagaan yang menjalankan perniagaan di 20 Kawasan Industri MARA (KIM), seluruh negara. 

Source: Berita Harian
Date : 19 March 2013

Afternoon Highlight (19/03//13/44/742)

No comments: