Friday, March 8, 2013

Afternoon Highlight (14/02//13/24/722) PETRONAS serba salah: Dr Mahathir


PETRONAS serba salah: Dr Mahathir

Petronas 'tersepit' antara memperjuangkan objektif asasnya untuk meningkatkan komuniti perniagaan Bumiputera dengan membuka perniagaan bagi penyertaan asing sejajar dengan pelan globalisasi perniagaannya, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, syarikat minyak negara itu sentiasa menyokong komuniti perniagaan tempatan terutama usahawan Bumiputera.

“PETRONAS dalam keadaan serba salah. Di sebelah pihak, ia diminta membuka ruang untuk penyertaan perniagaan luar manakala pada pihak yang lain, ia perlu menegakkan objektif penubuhannya untuk meningkatkan komuniti perniagaan Bumiputera.

“Apabila kita membukanya, syarikat asing cenderung untuk mengatasi syarikat tempatan dalam mendapatkan kontrak kerana mereka mempunyai portfolio yang lebih baik dan rekod prestasi yang telah terbukti,” kata Dr Mahathir yang juga adalah penasihat PETRONAS dalam satu temu bual dengan BERNAMA.

Dr Mahathir berkata, syarikat Bumiputera tempatan perlu diberikan keutamaan oleh PETRONAS dalam memberikan projek.

Pertimbang isu

“Bagi tujuan itu, PETRONAS, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang lain telah mengadakan perbincangan tentang bagaimana untuk menangani isu itu secara baik untuk mencapai penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak.

“Jika kita hanya mencari syarikat yang berkemahiran tinggi, pastinya syarikat asing akan mempunyai kelebihan.
“PETRONAS akan sentiasa mengingati prinsip penubuhannya adalah untuk membantu syarikat tempatan, khususnya syarikat Bumiputera.

“Pihak pengurusan PETRONAS mempertimbangkan isu ini. Melalui perbincangan, ia akan menghasilkan rancangan yang baik,” kata beliau sebagai mengulas kenyataan gabungan pertubuhan bukan kerajaan Melayu yang kecewa terhadap PETRONAS dengan mendakwa semua kontrak utamanya telah diberikan kepada syarikat asing.

Mendakwa syarikat tempatan yang sama berkelayakan tidak mendapat apa-apa kontrak, MTEM juga menuntut Presiden dan Ketua Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas supaya bertanggungjawab atas kegagalan itu dan perlu berundur.

Kontrak secara adil

MTEM juga meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya campur tangan dan memastikan kontrak PETRONAS dianugerahkan secara adil.

PETRONAS diperbadankan pada 17 Ogos, 1974 sebagai syarikat minyak nasional Malaysia, mendapat hak keseluruhan pemilikan dan kawalan sumber petroleum di negara ini.

Ia telah berkembang daripada hanya menjadi pengurus dan pengawal selia sektor huluan Malaysia kepada syarikat minyak dan gas bersepadu sepenuhnya dan berada dalam senarai Fortune Global 500 syarikat terbesar di dunia.

Source: Berita Harian

Date: 14 February 13

No comments: