Friday, April 26, 2013

Today's Pick (16/04/13/64/988) 10,000 PKS dijangka hadir TM SME BizFest 2013


10,000 PKS dijangka hadir TM SME BizFest 2013

Telekom Malaysia Bhd (TM) menyasar 10,000 peserta daripada komuniti pengusaha perniagaan bersaiz kecil dan sederhana (PKS) akan menghadiri TM SME BizFest 2013 berbanding hanya 3,000 tahun lalu.

Naib Presiden Eksekutif PKSnya, Azizi A Hadi, berkata sasaran itu disandarkan kepada maklum balas menggalakkan dikalangan komuniti PKS di negara ini sejak diperkenalkan tahun lalu.

Selain itu, ia diadakan di tiga lokasi berbeza di seluruh negara bagi memberi peluang lebih ramai komuniti PKS tempatan meraih manfaat daripada acara tahunan yang ditawarkan secara percuma itu.

Direka khas

Beliau berkata, TM SME BizFest yang direka khas untuk menghimpunkan PKS seluruh negara, menyaksikan penyertaan Syarikat Kumpulan NAZA, Lelong.my, Microsoft, RSH Malaysia dan KTM Bikes Malaysia sebagai rakan usaha sama strategik tahun ini, selain sokongan padu SME Corp.

“PKS dapat memperkasakan produktiviti, sekali gus meningkatkan produktiviti dan pendapatan perniagaan.

“Kami mahukan syarikat PKS tahu, baik daripada perkhidmatan telefoni asas hinggalah kepada inovasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) canggih, dan boleh mengharapkan TM sebagai rakan usaha perniagaan diyakini,” katanya pada majlis pelancaran TM SME BizFest 2013 di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Ketua Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim.

Pameran lebih bersinergi

Azizi berkata, TM SME BizFest 2013 yang memasuki tahun keduanya menyediakan pameran lebih bersinergi bagi meningkatkan pengetahuan syarikat PKS berhubung kemampuan ICT dalam memperkasa dan memberi faedah kepada perniagaan mereka.

Antara aktiviti utama program itu, katanya, adalah pertemuan perniagaan, seminar berkumpulan disampaikan pakar perniagaan dan pameran pelbagai penyelesaian ICT daripada TM dan rakan usaha sama.

Beliau berkata, sejajar pendekatan menjadikan berniaga lebih mudah, tumpuan tahun ini diberikan kepada penyelesaian di dalam dan di luar pejabat.

Penyelesaian di dalam pejabat termasuklah Office-in-a-Box, UniFi Biz, HyppTV, SmartMap dan TM Voice, manakala penyelesaian di luar pejabat pula merangkumi TM WiFi, BizApps Store dan peralatan pemasaran.

Azizi berkata, dengan lebih 40 produk dan perkhidmatan komprehensif yang direka khusus untuk 
mempertingkatkan produktiviti dan kecekapan PKS.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sebagai pemangkin ekonomi negara yang mewakili 90 peratus perniagaan di Malaysia, pihak TM mahu melihat pengusaha PKS tempatan melebarkan lagi pembabitan dalam transaksi merentas sempadan.

"Saya harap dalam tempoh dua tahun akan datang, sumbangan PKS kepada eksport negara akan meningkat kepada 25-30 peratus berbanding 19 peratus ketika ini," katanya.
Butiran lokasi TM SME BizFest 2013 ialah seperti berikut:

Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada 15 Mei; Pusat Konvensyen Sunway, Petaling Jaya pada 11 Jun; dan Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, Sarawak pada 18 Jun depan.

Hadirin dan peserta program berpeluang mengambil bahagian dalam acara menarik yang menawarkan pelbagai hadiah dan ganjaran menarik dengan hadiah utama sebuah kereta.

Untuk maklumat lanjut berhubung TM SME BizFest 2013, sila layari www.tm.com.my/sme atau hubungi hotline TM di 1800-2-BizFest (24933).

Source: Berita Harian 

Date: 16 April 2013

Today's Pick (16/04/13/64/988)

No comments: