Thursday, April 18, 2013

Afternoon Highlight (03/04//13/54/752) LTAT terima kontrak RM2.1b


LTAT terima kontrak RM2.1b

1MDB beri kontrak bangun 8 tapak pemindahan pangkalan udara

1MALAYSIA Development Bhd (1MDB) memberikan kontrak bernilai RM2.1 bilion kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memajukan lapan tapak untuk pemindahan Pangkalan Udara Kuala Lumpur yang bakal dijadikan Bandar Malaysia.

LTAT akan melaksanakan pembangunan berkenaan melalui anak syarikat milik penuhnya, Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM).

PPHM akan turut membuka peluang kepada kontraktor tempatan untuk bersama memajukan tapak pemindahan itu” Azmar Talib, Ketua Eksekutif 1MDB Real Estate Sdn Bhd.

IMDB dalam kenyataannya semalam berkata, pemindahan berkenaan membabitkan pelbagai unit Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Rejimen Artileri Diraja (31 RAD) dan Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari pangkalan udara di lapangan terbang lama Sungai Besi itu.

PPHM, jelasnya, akan bertindak sebagai kontraktor untuk merekabentuk dan membina kemudahan di lapan lokasi pemindahan termasuk tiga tapak baharu, iaitu pangkalan TUDM di Sendayan, Negeri Sembilan; pangkalan 31 RAD di Kajang, Selangor; serta pangkalan Unit Udara PDRM di Subang, Selangor.

Lokasi lain ialah di Subang; Kuantan, Pahang; Butterworth, Pulau Pinang; Gong Kedak, Terengganu dan Ipoh, Perak.


Tanah di Sendayan untuk pembangunan pangkalan TUDM dan di Subang untuk pangkalan Unit Udara PDRM itu dibeli oleh 1MDB baru-baru ini, katanya. 

Syarikat pembangunan strategik milik kerajaan itu berkata, ia juga akan menyumbang dana bagi menambah baik dan menaikkan taraf peralatan khusus di kemudahan berkenaan sebagai sebahagian daripada aktiviti pemindahan.

“PPHM akan turut membuka peluang kepada kontraktor tempatan untuk bersama memajukan tapak pemindahan itu,” katanya.

Kedudukan kukuh

Mengulas mengenainya, Ketua Eksekutif 1MDB Real Estate Sdn Bhd, Datuk Azmar Talib berkata, sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pertahanan, LTAT berada pada kedudukan kukuh untuk memastikan proses pemindahan itu tidak akan menggugat keselamatan negara.

“Mereka juga amat memahami keperluan anggota keselamatan, justeru dapat memastikan kebajikan anggota keselamatan dan keluarga mereka terjamin,” katanya sambil menambah kemudahan baru itu dijadualkan siap pada September 2016.

Beliau menjelaskan, kerja pembinaan Bandar Malaysia, sebuah projek pembangunan strategik diterajui oleh 1MDB sebagai Pemaju Induk, hanya boleh dimulakan selepas kemudahan baru itu dibina dan proses pemindahan selesai.

Bagaimanapun, katanya kerja awal sudah bermula, termasuklah Pertandingan Mereka Bentuk Pelan Induk Bandar Malaysia peringkat antarabangsa yang mana 1MDB akan mengumumkan pemenangnya tidak lama lagi.

Galak gaya hidup mapan

Azmar berkata, Bandar Malaysia menyasarkan untuk menggalakkan gaya hidup mapan sebagai komponen utama pembangunannya dan akan dijadikan sebagai penanda aras bagi bandar raya masa depan di Malaysia.

Ia, katanya akan menjadi satu pembangunan bercampur yang merangkumi prinsip reka bentuk berorientasikan transit yang baik, menggalakkan kerancakan komuniti dan menyediakan ruang awam serta kemudahan asas.


Dengan transformasi itu, lapangan terbang lama Sungai Besi akan menjadi platform perubahan untuk kali ketiga dan memangkin pertumbuhan baru.

Pada 1956, ia telah berfungsi sebagai lapangan terbang antarabangsa pertama Malaysia dan membuka laluan kepada industri penerbangan, pelancongan dan hospitaliti.

Source : Berita Harian

Date : 3 April 2013

Afternoon Highlight (03/04//13/54/752)







No comments: