Friday, April 26, 2013

Today's Pick (10/04/13/60/984) SME Bank lancar dana RM1b biaya Bumiputera


SME Bank lancar dana RM1b biaya Bumiputera

Bank Perusahaan Kecil & Sederhana Malaysia Bhd (SME Bank) melancarkan Dana Pembiayaan Bumiputera (BFF) berjumlah RM1 bilion khusus untuk membiayai syarikat Bumiputera yang layak membeli perniagaan bukan teras yang dilupuskan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dana itu adalah satu daripada empat dana utama pembangunan usahawan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2013, selain Dana Pembangunan Belia, Skim Pembangunan PKS dan Dana Pembangunan Halal.
SME Bank menerima peruntukan RM2.25 bilion daripada kerajaan untuk disalurkan kepada usahawan menerusi empat dana berkenaan.

Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus, berkata BFF dibuka kepada syarikat sendirian berhad berstatus Bumiputera atau mana-mana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Beliau berkata, dana berlandaskan Syariah itu dapat membantu meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera dalam perniagaan sekali gus mencapai sasaran 30 peratus pegangan golongan itu dalam sektor ekonomi menjelang 2020.

Kami menjangka menyalurkan keseluruhan dana ini sebelum akhir tahun, tetapi ia bergantung kepada momentum pelan pelupusan oleh GLC, katanya pada sidang media selepas melancarkan dana itu di Kuala Lumpur, semalam.

Tingkat pemilikan ekuiti

Pelancarannya disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Mat Noor Nawi yang mewakili Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Yang turut hadir ialah Pengerusi SME Bank, Datuk Gumuri Hussain. 

Mohd Radzif turut menegaskan bahawa dengan adanya BFF, sasaran meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor ekonomi kepada 30 peratus itu mungkin dapat dicapai lebih awal.

Terdapat banyak rancangan pelupusan (oleh GLC) yang dirancang kerajaan. Kami bersedia membantu membiayai PKS Bumiputera tempatan yang berminat membeli kepentingan itu, katanya.

Dana itu, katanya menawarkan tempoh pembayaran balik pembiayaan selama 15 tahun, dan tiada jumlah pembiayaan minimum atau maksimum yang ditetapkan kerana ia bergantung kepada nilai pelupusan sesuatu aset GLC terbabit.

Selain untuk membeli kepentingan dalam perniagaan yang dilupuskan GLC, BFF yang kini boleh didapati di SME Bank akan turut membantu PKS Bumiputera membeli ekuiti dalam syarikat yang dilupuskan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Khazanah Nasional Bhd, syarikat milik kerajaan, Perbadanan Kementerian Kewangan, GLC Negeri serta agensi lain yang berkaitan.

Untuk layak sebagai pembeli, sesebuah syarikat itu mestilah sebuah syarikat sendirian berhad berstatus Bumiputera yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta termasuk dalam kategori PKS atau kategori lain yang ditetapkan Kementerian Kewangan.

Sesebuah syarikat itu juga mesti memiliki kemahiran keusahawanan dan pengurusan yang cekap, berkemampuan menguruskan perniagaan yang dilupuskan oleh GLC serta berkebolehan memenuhi kriteria kewangan dan strategi khusus yang ditetapkan.

Sementara itu, Ahmad Husni dalam ucapannya yang dibacakan oleh Mat Noor berkata, pelupusan kepentingan perniagaan bukan teras GLC sejak tahun lalu telah memberi kesan positif kepada pembangunan pasaran modal di Malaysia.

Source : Berita Harian

Date : 10 April 2013

Today's Pick (10/04/13/60/984)

No comments: