Tuesday, March 13, 2012

Today's Pick (02/03/12/036/730) DRB-HICOM bina kolej RM592.5j

DRB-HICOM bina kolej RM592.5j

DRB-HICOM Bhd mengukuhkan lagi asas perniagaannya apabila melabur RM592.5 juta untuk membina sebuah kolej universiti automotif di Hab Automotif DRB-HICOM di Pekan, Pahang.

Kolej universiti yang dibangunkan anak syarikatnya, HICOM University College Sdn Bhd itu yang akan dikenali International College of Automotive dan ia bakal melengkapi ekosistem perniagaan automotif konglomerat itu di negara ini.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, berkata pembinaan kolej universiti itu dijangka dapat mewujudkan sehingga 500 peluang pekerjaan baru dan menarik 7,000 pelajar dari dalam serta luar negara menjelang 2020.

“Projek pembinaannya sudah dimulakan tahun ini dan ia dijangka siap sepenuhnya tahun depan,” katanya pada sidang media selepas majlis pertukaran dokumen perjanjian antara DRB-HICOM bersama Ketua Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John di Putrajaya, semalam.

Majlis itu diadakan selepas mesyuarat ahli lembaga pengarah ECERDC bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pertukaran dokumen turut disaksikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Mengulas lanjut, Mohd Khamil berkata kolej universiti berkenaan akan dibangunkan di tapak seluas 16.9 hektar dan ia akan membantu mewujudkan tenaga kerja tempatan bermutu tinggi untuk industri automotif.

“Kolej universiti ini akan menawarkan sehingga 30 kursus, daripada pengajian asas dalam bidang kejuruteraan serta perniagaan hingga program doktor falsafah
.

“Kumpulan pelajar ini akan membantu menyokong perkembangan industri automotif tempatan sama ada dalam sektor hiliran atau huluan,” katanya.

Beliau berkata, International College of Automotive sudah memulakan pengajiannya pada Mac tahun lalu dan kini disertai oleh kira-kira 600 pelajar dari Malaysia dan Thailand.

Katanya, apabila kampus itu siap sepenuhnya, ia akan mempunyai tiga fakulti yang setiap satunya mempunyai kemudahan masing-masing.

“Kampus itu akan turut dilengkapi kemudahan penginapan untuk kakitangan,” katanya.

Tegasnya, penubuhan kolej itu secara langsung akan mengukuhkan lagi kedudukan Taman Automotif Pekan sebagai hab automotif di Malaysia dan rantau Asia Pasifik.

Hicom University College ditubuhkan pada 2010 dengan modal dibenarkan RM10 juta.

Source : Berita Harian
Date : 1 March 2012
Today's Pick (02/03/12/036/730)

No comments: