Tuesday, March 13, 2012

afternoon highlight (02/03/12/039/514) Penurunan pengeluaran minyak, gas diatasi dalam 2 tahun

Penurunan pengeluaran minyak, gas diatasi dalam 2 tahun

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Penurunan sebanyak 5.7 peratus di dalam pengeluaran minyak dan gas mampu dipulihkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala berkata, penurunan tersebut disumbang oleh medan minyak yang semakin matang dan masalah teknikal yang berkaitan pasir, khususnya di Semenanjung Malaysia.

“Kemerosotan pengeluaran minyak disebabkan oleh masalah medan minyak Kikeh di Sabah dan syarikat minyak, Murphy Oil memerlukan tempoh dua tahun atau lebih untuk mengatasinya, “ katanya semasa sidang akhbar selepas menjadi panel pada pertemuan di antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan majlis-majlis perniagaan dan ketua-ketua misi perdagangan asing di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Tambah Idris, di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), sejumlah RM132 bilion nilai pelaburan di dalam projek minyak dan gas telah diumumkan yang mana ia mampu mengurangkan kesan kemerosotan pengeluaran dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Dalam tempoh beberapa tahun, kita akan mampu menarik lebih banyak pelaburan besar di dalam sektor minyak dan gas.

“Kerajaan sedang mempelbagaikan usaha supaya sektor ini terus kekal tumbuh seiring dengan sektor-sektor lain yang menyokong perkembangan ekonomi negara, “ katanya.

Menurut Idris, walaupun terdapat penurunan di dalam sektor minyak dan gas namun ekonomi Malaysia tetap merekodkan pertumbuhan positif.

Source : Utusan Malaysia
Date : 29 February 2012
afternoon highlight (02/03/12/039/514)

No comments: