Tuesday, March 13, 2012

afternoon highlight (12/03/12/045/520) VW AG, DRB-Hicom guna komponen tempatan

VW AG, DRB-Hicom guna komponen tempatan

VOLKSWAGEN AG (VW AG) dan DRB-Hicom Bhd menyasarkan untuk menggunakan sehingga 40 peratus komponen tempatan bagi model pemasangan tempatan (CKD) kenderaan jenama Jerman itu dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang, kata Naib Presiden Kanan Pengeluaran Kumpulan Luar negara VW AG, Dr Christof Spathelf.

"Kami sedang menyediakan program teknologi komponen untuk mencapai 40 peratus dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

Ini akan dijalankan secara berperingkat, 0 hingga 15 peratus dan akhirnya 40 peratus.

"Wawasan dan sasaran kami adalah untuk mencapai 40 peratus.


Pada masa ini, kami membawa komponen dari Jerman untuk memastikan kualiti," kata beliau pada majlis pelancaran Volkswagen Passat 1.8 TSI CKD di Kompleks Automotif DRB-Hicom di Pekan, Pahang semalam.

Pelancarannya disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, berkata majlis itu adalah satu peristiwa penting yang melengkapkan komitmen DRB-Hicom bagi operasi CKD kenderaan Volkswagen untuk pasaran tempatan dan seterusnya, pasaran Asean.

Pada Disember 2010, DRB-Hicom dan VW Ag menandatangani perjanjian kerjasama untuk membentuk perkongsian bagi pemasangan tempatan kenderaan Volkswagen di kemudahan pembuatan automotif DRB-Hicom di Pekan.

Model Passat 1.8 TSI adalah yang pertama dalam beberapa model Volkswagen yang akan dipasang di Kompleks Automotif DRB-Hicom, Pekan itu.

Ketua Pegawai Operasi DRB-Hicom Datuk Lukman Ibrahim, berkata dalam mencapai sasaran 40 peratus itu, DRB-Hicom dan VW AG mempunyai program yang memastikan vendor dalam taraf tertentu untuk menjadi vendor kepada Volkswagen.

“Vendor tempatan akan diadakan beberapa latihan dan ujian yang VW AG mahukan untuk memastikan program ini akan meliputi sebanyak mungkin tanpa menjejaskan kualiti kereta," katanya.

Lukman berkata, DRB-Hicom dan VW AG menilai 27 vendor dan 20 memenuhi keperluan.

“Ini adalah sebahagian daripada persiapan yang sedang berlaku sehingga kita melaksanakan penggunaan tempatan," katanya. Ketua Bahagian Operasi Komersil China-Asean VW AG, Weiming Soh, berkata syarikat itu meninjau untuk mengeksport menjelang 2014.

“Sekitar 2014 akan menjadi masa yang baik untuk eksport. Kami kini meneliti potensi eksport Passat ke negara lain dalam dan luar Asean.

“Kami sedang mengkaji mengenainya dan meneliti proses, terutama pasaran pemanduan sebelah kanan.

Kami ingin memastikan bahawa apabila kami mengeksport, yang datang dari Malaysia, berkualiti dan diterima oleh rantau lain," katanya.

Soh juga berkata, harga Passat CKD itu akan ditentukan dalam beberapa hari atau minggu ini.

“Kami memerlukan sedikit masa untuk mengukuhkan logistik kami. Ia akan mengambil hari atau minggu.

Apabila sudah selesai dan peniaga berpuas hati, kami akan mengumumkan harganya," katanya.

Beliau berkata, harga bagi Passat CKD dan yang diimport sepenuhnya (CBU) akan berbeza.

“Apabila kami melancarkan kereta, kami melancarkan dengan spesifikasi berbeza dengan pilihan yang berbeza.

Pada satu peringkat, kami mungkin akan melancarkan dengan satu pilihan saja, yang anda akan lihat minggu depan.

“Memandangkan kami dapat memahami pasaran dengan lebih baik, kami mampu membawa masuk pilihan berbeza untuk memenuhi segmen pasaran berbeza atau profil pelanggan yang berbeza," tambah beliau.

Mohd Khamil berkata, lebih banyak model Volkswagen akan dipasang menjelang akhir tahun ini atau tahun depan.

“Kami masih berbincang dengan Volkswagen. Pada akhir tahun ini atau tahun depan, akan ada model lain.

Kami perlu membuktikan kemampuan kami.

Setakat ini, mereka gembira," katanya. Mohd Khamil juga berkata, Kompleks Automotif DRB-Hicom, yang direka untuk 96,000 unit setahun dengan dua giliran, akan dapat mencapai penggunaan yang lebih tinggi antara 50,000 dan 60,000 kereta dari 23,000 hingga 25,000 unit sekarang ini.

“Saya percaya dengan angka yang kami ada buat sementara waktu ini dengan Volkswagen, kami mungkin boleh mencapai penggunaan yang lebih tinggi antara 50,000 hingga 60,000 kereta," katanya.

Sehingga kini, lebih 300 unit Volkswagen Passat 1.8 TSI sudah dipasang di kompleks automotif di Pekan itu, katanya. – BERNAMA

Source : Berita Harian
Date : 12 March 2012
afternoon highlight (12/03/12/045/520)

No comments: