Friday, March 8, 2013

Today's Pick (18/02/13/28/953) GoEx bantu PKS eksport produk


GoEx bantu PKS eksport produk

Kuala Lumpur: SME Corporation Malaysia (SME Corp) mewujudkan program yang dipanggil, Going Export (GoEx) sebagai laluan pantas untuk mempercepatkan proses pengantarabangsaan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan. 

Program GoEx itu adalah satu daripada enam strategi utama Program Berimpak Tinggi (HIP) Pelan Induk PKS (2012 -2020) khusus bagi meningkatkan jumlah syarikat PKS yang berupaya mengeksport produk keluaran atau perkhidmatan mereka ke pasaran antarabangsa. 

Tawar bantuan khusus

Ketua Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim (gambar), berkata program GoEx itu menawarkan bantuan khusus kepada pengeksport baru dan usahawan PKS yang menceburi pasaran baru berpotensi tinggi. 

Beliau berkata, menerusi program itu, syarikat PKS yang sudah bersedia ke pasaran luar negara akan diberikan sokongan komprehensif oleh agensi terbabit khusus bagi mempercepatkan proses mereka ke peringkat antarabangsa.

“Antara sokongan yang akan diberikan termasuk akses kepada kepakaran pasaran dan pembeli, dan pematuhan kepada piawaian bagi memastikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan menepati standard antarabangsa. 

Program tepati objektif 

“Program ini menepati sebahagian objektif Pelan Induk PKS yang menyarankan pendekatan terancang bagi menggalakkan syarikat berinovasi dan mempunyai pertumbuhan tinggi merealisasikan potensi maksimumnya serta membimbing mereka menceburi pasaran global,” katanya kepada BH baru-baru ini.

Selepas dilancarkan Julai tahun lalu, Pelan Induk PKS yang bermula tahun ini akan dilaksanakan oleh pihak awam dan swasta yang dikenal pasti dengan SME Corp bertindak sebagai penyelaras keseluruhan pelaksanaan Pelan terbabit.

Bantu syarikat 

Sejajar dengan kepentingan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kerajaan memperuntukkan sebanyak RM30 juta di bawah Bajet 2013 sebagai kos permulaan melaksanakan HIP dan program lain berkaitan pelan itu. 

Mengulas mekanisme GoEx, Hafsah berkata, kumpulan pengurusan program yang bertanggung jawab membantu syarikat PKS yang menyertainya akan menyediakan dan melaksanakan pelan jualan eksport yang diperlukan.

Source: Berita Harian
Date: 18 Feb 13

No comments: