MTDC sasar lahir syarikat raih RM100j
Kuala Lumpur: Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) merumus sasaran untuk melahirkan sekurang-kurangnya sebuah syarikat teknologi tempatan dengan keupayaan menjana pendapatan lebih RM100 juta setahun.
Pencapaian sasaran itu penting untuk menjadi pemangkin dan menyemarakkan kesedaran dalam usaha mewujudkan kumpulan usahawan teknokrat tempatan yang lebih dinamik dan progresif serta mampu bersaing dengan syarikat teknologi asing di pasaran tempatan dan peringkat antarabangsa.
Latih ramai usahawan
Ketua Eksekutif MTDC, Norhalim Yunus, berkata bagi mencapai sasaran itu pihaknya akan meningkatkan usaha mencari, mengenal pasti, membantu dan melatih lebih ramai usahawan atau teknokrat tempatan menerusi semua saluran program serta penyediaan dana yang ada di bawah agensi itu.
Katanya, langkah itu juga turut merangkumi kerjasamanya dengan universiti dan institusi penyelidikan tempatan.
“Kerajaan mahu membangunkan lebih ramai kumpulan usahawan teknokrat yang berjaya, berinovasi dan dapat menjana pulangan menguntungkan dalam jangka panjang dan tidak sekadar makan gaji.
“Justeru, dengan adanya pemangkin seperti ini, iaitu sebuah syarikat yang lahir hasil bantuan dan sokongan yang diberikan MTDC seumpama ini, ia akan menarik dan melahirkan lebih ramai usahawan baru menceburi bidang ini.
Beri mandat
“Ini seterusnya akan meningkatkan jumlah penyertaan syarikat tempatan dalam industri teknologi, sekali gus dapat menguasai keseluruhan rantaian nilai sama ada dari segi peluang mahupun potensi pertumbuhannya di dalam dan luar negara,” katanya dalam satu pertemuan dengan BH di sini.
MTDC, yang ditubuhkan pada 1992 dengan modal berbayar RM52 juta, diberi mandat untuk menguruskan dana dan geran bagi membiayai aktiviti pengkomersialan teknologi yang dibangunkan syarikat tempatan.
Norhalim berkata, setakat ini, beberapa produk teknologi hasil ciptaan universiti dan institusi penyelidikan tempatan sudah berada di pasaran sama ada di dalam mahu pun di peringkat antarabangsa.
Namun, jelasnya, bilangan produk teknologi tempatan yang dikomersialkan di pasaran masih belum mencukupi dan beliau mengakui ada beberapa halangan yang menyebabkan produk teknologi tidak dapat dikomersialkan.
Program kesedaran
Antaranya, pengurusan yang tidak cekap serta pengetahuan pasaran yang tidak mencukupi sehingga menjadi punca penangguhan pengkomersialan produk teknologi.
“MTDC komited menyelesaikan permasalahan itu secepat mungkin menerusi pengenalan lebih banyak program kesedaran kepada pihak yang terbabit bagi membolehkan lebih banyak produk teknologi tempatan yang sedang dibangunkan berada di pasaran secepat mungkin,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, agensi itu mahu melahirkan usahawan tekno yang mempunyai peluang meneroka bidang baru dan ini selaras dengan Model Baru Ekonomi (MBE) yang mana kejayaan kita adalah berasaskan kepada kemampuan mencipta kekayaan berasaskan teknologi.
Antara dana atau geran disediakan MTDC kepada syarikat tempatan yang ingin mengkomersialkan produk teknologi mereka termasuk Dana Permulaan Perniagaan (BSF) dan Dana Perkembangan Perniagaan (BGF).
Source : Berita Harian
Date : 24 September 2012
afternoon highlight (26/09/12/166/641)
No comments:
Post a Comment