Tarik pelaburan RM77.82 bilion
Perubahan perlahan-lahan pembangunan di Iskandar Malaysia yakinkan pelaburISKANDAR Malaysia telah menarik pelaburan terkumpul sebanyak RM77.82 bilion daripada pelbagai sektor setakat September tahun ini, kata Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Ismail Ibrahim.
Daripada jumlah itu, katanya 60 peratus atau RM46.63 bilion adalah pelaburan domestik, manakala 40 peratus atau RM31.19 bilion adalah pelaburan asing.
Ini, katanya menunjukkan perubahan perlahan-lahan wilayah itu daripada pergantungan kepada pelabur asing kepada sebuah metropolis yang dijana pembangunannya oleh pelaburan domestik.
Perangkaan itu juga menunjukkan keyakinan pelabur domestik dan asing untuk melabur di Iskandar Malaysia, katanya, yang dijemput berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin Perniagaan GES 2011 yang sedang berlangsung di Singapura bagi berkongsi pengalaman dan pandangan mengenai pembangunan Iskandar Malaysia.
Pada sidang media semalam, Ismail berkata, beliau menjangka Dana Pembiayaan PKS patuh syariah sebanyak RM2 bilion yang diumumkan dalam Bajet 2012 akan memberikan sokongan ketara kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan hartanah.
Katanya, IRDA komited mewujudkan kesedaran di rantau ini dan bagi menarik pelabur baru. Tempoh 2006-2010 adalah fasa perancangan di bawah Pelan Terperinci Pembangunan Iskandar Malaysia. Iskandar Malaysia kini sudah memasuki fasa kedua pengukuhan dan penjanaan pertumbuhan di mana kejayaannya bergantung kepada penyiapan pembangunan utamanya.
Tahun depan, katanya banyak projek pemangkin di dalam sektor pendidikan dan pelancongan Iskandar Malaysia, seperti Educity dan Legoland dijangka siap dan memulakan operasi. Pembangunan dan usahasama perniagaan sedemikian memerlukan sokongan hiliran dan huluan sepanjang rantaian nilaian masing-masing dan dalam bidang itulah PKS akan menjadi pelengkap ekosistem berkenaan.
Kejayaan projek pemangkin akan membantu menjadikan Iskandar Malaysia lebih menarik bagi pelaburan dan dana Pembiayaan SME akan menjadi sokongan pembiayaan bagi SME untuk mengambil bahagian di dalam ekonomi serantau.
IRDA adalah lembaga pengawas yang diberi mandat untuk merancang, menggalakkan dan memudahkan pembangunan Iskandar Malaysia untuk menjadi sebuah metropolis yang kukuh dan mampan bertaraf antarabangsa.
Pembangunan Iskandar Malaysia diunjurkan mewujudkan 850,000 peluang pekerjaan menjelang projek pembangunan mencapai kematangan pada 2025. Sejak dimulakan, sejumlah 20,000 pekerjaan telah diwujudkan. - BERNAMA
Source: Berita Harian
Date: 26 Oktober 2010
Today's Pick (28/10/11/191/631)
No comments:
Post a Comment