Thursday, August 23, 2012

Today's Pick (17/08/12/150/843) Bank Negara perkenal inisiatif Perbankan Ejen


Bank Negara perkenal inisiatif Perbankan Ejen

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia memperkenalkan inisiatif Perbankan Ejen yang membolehkan bank meluaskan perkhidmatan kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan, khususnya di kawasan luar bandar.

Ia sekali gus menandakan satu pencapaian baru dalam sistem kewangan negara untuk membolehkan seluruh lapisan masyarakat, terutama yang berpendapatan rendah mendapat akses kepada urus niaga kewangan dengan cara lebih berkesan dan pada kos berpatutan.
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, di bawah inisiatif Perbankan Ejen itu, bank akan melantik ejen berdaftar seperti pejabat pos, stesen minyak atau kedai runcit untuk menyediakan perkhidmatan perbankan asas termasuk menerima deposit dan pengeluaran.

Beliau berkata, perkhidmatan perbankan asas lain yang boleh disediakan ejen bank berdaftar itu termasuk pemindahan dana, pembayaran bil dan pembayaran balik pembiayaan.

Transaksi pada masa nyata

Katanya, semua transaksi yang dijalankan ialah secara masa nyata bagi melindungi kepentingan pengguna.

“Inisiatif Perbankan Ejen ini adalah antara inisiatif untuk menggalakkan rangkuman kewangan seperti yang disarankan dalam Pelan Sektor Kewangan 2011-2020 Bank Negara Malaysia.
“Matlamatnya, mengikut rangka tindakan adalah untuk mencapai visi sistem kewangan yang inklusif yang terbaik untuk memenuhi semua anggota masyarakat, termasuk golongan yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan,” katanya dalam ucaptama majlis pelancaran Perbankan Ejen dan logo rasminya di Kuala Lumpur semalam.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Bank-bank Malaysia (ABM), Datuk Sri Abdul Wahid Omar; Presiden, Persatuan Bank-bank Islam di Malaysia (AIBIM), Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid; dan Timbalan Pengerusi Persatuan Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM) Datuk Adinan Maning, Timbalan Pengerusi ADFIM.

Golongan yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan didefinisikan sebagai kumpulan penduduk seramai 2,000 yang tinggal dalam satu mukim di luar bandar.

Keluar garis panduan

Zeti berkata, bagi memastikan Perbankan Ejen dijalankan secara selamat dan diyakini, Bank Negara mengeluarkan Garis Panduan Perbankan Ejen kepada institusi kewangan.

Garis Panduan itu, katanya menggariskan keperluan yang harus dipatuhi institusi kewangan dalam bidang tadbir urus dan pengawasan, pengurusan ejen bank serta perlindungan, kesedaran dan pendidikan pengguna.

“Semua ejen bank berdaftar akan mempamerkan logo kebangsaan perbankan ejen bersama dengan logo institusi kewangan masing-masing.


“Ini akan memudahkan orang ramai mengenal pasti ejen bank yang sah dan perkhidmatan perbankan asas yang disediakan,” katanya.

Sejak pengenalan operasi percubaan Perbankan Ejen pada akhir 2010 hingga akhir bulan lalu, lebih satu juta transaksi bernilai lebih daripada RM190 juta direkodkan.

Semua transaksi itu dicatat menerusi pembabitan seramai 2,322 ejen bank yang mewakili tiga buah institusi kewangan yang mengambil bahagian iaitu Maybank, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional.

Source : Berita Harian
Date : 16 August 2012
Today's Pick (17/08/12/150/843)





No comments: