Thursday, August 23, 2012

Today's Pick (13/08/12/146/839) Sistem Tukar Milik Sukarela jadi pilihan


Sistem Tukar Milik Sukarela jadi pilihan
Petaling Jaya: My E G Services Bhd (Myeg) menyasar kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan jumlah urusan tukar milik kenderaan akan menggunakan perkhidmatan e-kerajaan terbarunya, Sistem Tukar Milik Sukarela menjelang tahun depan.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Norraesah Mohamad, berkata berdasarkan sasaran itu, ia dijangka memberi sumbangan positif kedudukan kewangan syarikat penyedia perkhidmatan elektronik kerajaan itu bermula tahun kewangan berakhir 30 Jun 2013 .
"Sasaran itu agak rendah memandang ia perkhidmatan baru dan aliran pertumbuhannya sama seperti perkhidmatan yang dilancarkan sebelum ini.

Kami mahu mewujudkan kesedaran terlebih dulu agar rakyat negara ini memilih perkhidmatan dalam talian sebagai pilihan utama, katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran sistem itu yang disempurnakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha di sini semalam.

1.186 juta transaksi

Setakat Mei, jumlah pertukaran milik kenderaan yang dilakukan secara manual di JPJ direkodkan sebanyak 490,243.

Tahun lalu, ia merekodkan 1.186 juta transaksi manual daripada 1.116 juta tahun sebelumnya.
Sistem Tukar Milik Sukarela adalah inisiatif JPJ dan Myeg di bawah perjanjian e-Khidmat yang membolehkan pertukaran hak milik kenderaan dilakukan secara dalam talian menerusi platform 1Malaysia Authenticated Digital ID (1MID).

Sebelum ini, proses pertukaran milik sukarela kenderaan dilakukan secara manual menerusi kaunter menggunakan borang pertukaran milikan kenderaan (JPJK3).

Dr Norraesah berkata, sistem itu turut menggunakan platform kerjasama antara institusi kewangan, pemilik kenderaan dan pembeli sebenar sekali gus menjadikannya lebih mudah dan cekap.

Yuran kemudahan RM100

Kami percaya perkhidmatan e-kerajaan terbaru ini akan meningkatkan lagi jumlah pendaftaran kenderaan di negara ini dengan menggunakan urus niaga secara dalam talian, katanya.

Beliau berkata, pengguna sistem ini akan dikenakan yuran kemudahan RM100 dengan pembayarannya boleh dilakukan menerusi kad kredit atau perbankan elektronik.

Sementara itu, Cho Ha berkata, kementerian menyasar 85 peratus perkhidmatan kerajaan akan dilaksanakan secara dalam talian ini menjelang 2014.

Source : Berita Harian
Date : 10 August 2012
Today's Pick (13/08/12/146/839)

No comments: