Friday, September 7, 2012

Today's Pick (07/09/12/158/851) Menjelang Bajet 2013: 'Jual kuota Bumiputera'


Menjelang Bajet 2013: 'Jual kuota Bumiputera'


Mekanisme perlu dirangka elak pemaju tanggung kos pegangan

Petaling Jaya: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (REHDA) mencadangkan kerajaan menyediakan sebuah mekanisme berstruktur bagi membolehkan pemaju perumahan melepaskan kuota hartanah Bumiputera yang tidak terjual.
Presiden, Datuk Seri Michael KC Yam, berkata mekanisme itu penting kerana unit Bumiputera yang gagal dijual menjejaskan aliran tunai pemaju selepas perbelanjaan modal pembangunan dibuat.

Kebiasaannya, unit Bumiputera gagal dijual disebabkan kekurangan permintaan. Keadaan ini memaksa pemaju menanggung kos pegangan lebih tinggi sebelum memindahkannya menerusi jualan harga hartanah yang lebih mahal kepada pembeli lain.

Aktiviti vandalisme

Yam berkata, unit Bumiputera yang tidak terjual juga membawa kepada aktiviti vandalisme dan tidak bermoral, dengan implikasi undang-undang dan denda kepada pemaju kelak.

“Justeru, kami mencadangkan kerajaan supaya menyediakan sebuah mekanisme berstruktur yang selepas enam bulan sijil layak menduduki (CF) diterima dan jika unit Bumiputera masih gagal dijual, ia kemudian ditawarkan kepada pembeli lain,” katanya selepas taklimat mengenai kaji selidik industri hartanah bagi separuh pertama 2012 di sini, semalam.

Beliau berkata, mekanisme itu adalah sebahagian cadangan yang dikemukakan REHDA kepada Kementerian Kewangan untuk dimasukkan dalam Bajet 2013 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada hujung bulan ini.

Payungi pemaju

Yam berkata, selain mekanisme pelapasan kuota Bumiputera, aspek lain yang dicadangkan persatuan yang memayungi lebih 800 pemaju hartanah di Malaysia ialah penghapusan duti setem dan pelbagai yuran berkaitan yang perlu dijelaskan pemaju kepada pelbagai pihak berkaitan termasuk penyedia utiliti.

Mengenai kaji selidik itu, Yam berkata, REHDA mengunjurkan tahap keyakinan dalam kalangan pemaju bagi separuh kedua tahun ini kekal kukuh tetapi lebih berhati-hati bagi tempoh 12 bulan akan datang.
“Berdasarkan kaji selidik itu, 56 peratus pemaju merancang untuk melancarkan lebih banyak projek dalam separuh kedua tahun ini,” katanya.

Kaji selidik itu juga mendapati, kenaikan harga bahan mentah dan kos pekerja mahir serta peningkatan peratusan kegagalan permohonan pinjaman menjadi antara faktor yang mungkin menyebabkan pertumbuhan agak sederhana.

Sektor hartanah tempatan berkembang pada purata 3.7 peratus setahun dalam tempoh 2004 hingga 2011.

Dalam perkembangan berkaitan, REHDA berkata, pembelian hartanah oleh warga asing bukan penyebab utama peningkatan mendadak harga.
 
Source : Berita Harian
Date : 5 September 2012
Today's Pick (07/09/12/158/851)  

No comments: